Kempen Internet Selamat Di Sk Seri Puteri, Batu Pahat
23 Julai 2025 | Aktiviti TerkiniKempen Internet Selamat yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Seri Puteri, Batu Pahat pada 17 Julai lalu telah berjaya memberikan pendedahan awal kepada murid-murid sekolah rendah mengenai had umur penggunaan media sosial dari aspek keselamatan, perkembangan mental, dan peraturan platform media sosial.
Program ini dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Johor dengan penglibatan fasilitator daripada pelbagai pihak termasuk kakitangan MCMC Johor serta wakil dari beberapa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) iaitu NADI Parit Othman, NADI Taman Nira, NADI Salleh Ros, NADI Parit Kemang dan NADI Sungai Nibong.
Sebanyak sembilan buah sekolah rendah sekitar Batu Pahat telah menyertai program ini, Antaranya ialah SK Seri Puteri, SK Bandar, SK Tengku Mariam, SK Convent, SK Peserai, SK Temenggong Ibrahim, SK Monfort, SJKT Pelangi dan SK Limpoon.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi kefahaman kepada murid mengenai had umur minimum 13 tahun dalam penggunaan media sosial, sejajar dengan faktor keselamatan, kematangan mental serta garis panduan yang ditetapkan oleh platform-platform media sosial. Selain itu, kempen ini turut memberi pendedahan tentang risiko dan ancaman siber yang sukar ditangani oleh pengguna bawah umur disebabkan keupayaan mental mereka yang masih dalam fasa perkembangan.
Program dimulakan dengan ucapan dari wakil MCMC Johor, penyerahan modul dan poster kepada wakil sekolah dan pelantikkan Ikon K-DAT. Setelah itu, peserta dibahagikan kepada beberapa 5 kumpulan kecil. Setiap kumpulan menjalani lima submodul berbeza yang dikendalikan oleh fasilitator yang terlibat. Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan penyampaian lebih berfokus dan interaktif, serta memberi peluang kepada murid memahami topik dengan lebih mendalam dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan. Pembahagian kepada kumpulan kecil membantu murid memberi tumpuan sepenuhnya, dan memudahkan fasilitator untuk memberikan penjelasan yang lebih mendalam serta memberi perhatian secara individu. Hubungan dua hala yang terjalin antara pelajar dan fasilitator turut mencetuskan suasana pembelajaran yang praktikal.
Secara keseluruhannya, Kempen Internet Selamat ini bukan sahaja menyampaikan ilmu dan pengetahuan berguna, tetapi juga menanam nilai kesedaran digital yang kritikal sebagai persediaan murid menghadapi cabaran dunia siber yang semakin kompleks dan mencabar masa kini. Untuk pihak NADI pula, secara tidak langsung, ia menjadi salah satu kaedah bagi mengenalkan NADI dan Perkhidmatan Pintar yang ditawarkan kepada golongan sasaran.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: